OHI banner
Article
Facebook Twitter Email Google

'Obviously Harith Iskander' bukti produksi tempatan bertaraf antarabangsa

by Dania Zainuddin
Pelawak terkenal, Harith Iskander bakal menghoskan rancangan bual bicara terbaharu terbitan Astro AWANI, bertajuk 'Obviously Harith Iskander' (OHI).

Menurut Harith, penerbitan rancangan ini adalah tepat pada masanya kerana ia akan membuktikan kemampuan produksi tempatan bertaraf antarabangsa.

Kata Harith, rancangan bual bicara lewat malam itu merupakan yang pertama di Malaysia menggunakan medium Bahasa Inggeris.

Beliau mengakui, langkah yang diambil oleh Astro AWANI itu adalah pendekatan terbaik kerana ia bukan sahaja mampu menarik penonton di luar negara, malah personaliti-personaliti terkenal di seluruh dunia untuk menjadi tetamu rancangan berkenaan.

"Impak yang saya mahu bersama Astro AWANI adalah untuk menerbitkan rancangan yang setaraf dengan agensi berita dunia seperti CNBC, Al-Jazeera, CNN dan BBC.

"Bila orang lain lihat kualiti yang tinggi ke atas produksi, muzik, tetamu terkenal, rancangan ini boleh dimainkan di mana-mana," kata Harith dalam satu temubual selepas melancarkan rancangan bual bicara itu di Bangsar hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksektuif Astro AWANI, Faizal Mansor berkata penerbitan rancangan berkenaan diilhamkan daripada rancangan bual bicara antarabangsa seperti yang dihoskan oleh pelawak popular Jimmy Fallon, James Corden dan Jimmy Kimmel.

Ia juga, jelasnya seiring dengan dapatan kajian trend ke atas penonton Malaysia yang menunjukkan ramai yang meminati program berasaskan komedi.

Mengulas pemilihan Harith sebagai hos, Faizal menyifatkan beliau adalah calon yang tepat serta sesuai dengan statusnya sebagai ikon yang telah menghiburkan rakyat Malaysia sejak lebih dua dekad lalu.

Rancangan yang diterbitkan Astro AWANI bersama Harith Iskander itu ditaja oleh Air Asia berhad serta Kolej dan Universiti Antarabangsa INTI.

Ia akan disiarkan untuk 13 episod di saluran 501 Astro AWANI, pada setiap Sabtu, jam 9:30 malam bermula 28 Mei ini.

Untuk maklumat lanjut berhubung program bual bicara 'Obviously Harith Iskander' layari www.obviouslyharith.com.
previous article
Previous article
Harith Iskander to host first late night talk show on Astro AWANI
Next article
Harith Iskander menghadap Sultan Johor
next article